Saturday, 28 February 2015

PENDAHULUAN

          Undang-undang Melaka yang lebih dikenali Hukum Kanun Melaka dan risalat hukum kanun (dalam bahasa Arab) merupakan undang  tradisional yang tertua di negara ini. Hukum Kanun Melaka merupakan peraturan yang tidak bertulis. Menurut pandangan Dr Mohd Yusoff Hashim, Hukum Kanun Melaka pada mulanya dijalankan pada masa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah pada tahun (1446M -1456M) tetapi ia baru ditulis dan disusun secara teratur pada pemerintahan Sultan Mahmud Syah pada tahun (1489M – 1511M). Hukum Kanun Melaka ini diwujudkan bertujuan untuk melindungi rakyat, kerajaan dan negeri Melaka.
          Hukum Kanun Melaka mempunyai 44 fasal yang menyentuh tentang bidang kuasa raja dan pembesar, pantang larang dalam kalangan anggota masyarakat, hukuman terhadap kesalahn jenayah awam dan undang-undang Melaka. Dalam Hukum Kanun Melaka juga, sedikit sebanyak menyentuh tentang hukum hukum Islam seperti Hukum Hudud.
          Contoh bahasa yang telah digunakan dalam petikan Hukum Kanun Melaka atau dikenali Undang Undang Melaka :-
Lima perkara, yang tiada beroleh kita menurut kata itu, melainkan raja yang kerajaan juga. Pertama-tama 'titah', kedua 'berparik', ketiga 'murka', keempat 'karunia', kelima 'anugerah'. Maka segala kata ini tiada dapat kita mengatakan dia. Dan jikalau orang keluaran berkata demikian itu, digocoh hukumnya”

KEPENTINGAN HUKUM KANUN MELAKA SEBAGAI PANDUAN YANG LENGKAP DALAM MENJALANKAN PEMERINTAHAN KERAJAAN KESULTANAN MELAYU MELAKA

          Hukum Kanun Melaka sungguh penting kerana menjadi panduan dalam menjalankan pemerintahan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Hukum Kanun Melaka dapat mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam negara serta menjamin keselamatan rakyat. Dengan itu, perilaku jenayah di dalam negeri melaka dapat diatasi dengan baik dan terurus. Hal ini demikian kerana setiap jenayah akan dikenakan hukuman yang setimpal.sebagai contoh kesalahan membunuh akan dibalas dengan hukuman bunuh. Ini sudah tentu akan menjadi peringatan dan rakyat takut melakukan jenayah. sekaligus negara akan aman serta keselamatan rakyat lain terpelihara.

          Selain itu, Hukum Kanun Melaka penting sumber rujukan bagi menentukan hukuman bagi kesalahan tertentu. Dengan ini hukuman dapat dijatuhkan dengan seadil-adilnya dan mengikut undang-undang negara. Tidak akan berlaku fenomena "main hakim sendiri" dalam kalangan masyarakat kerana Hukum Kanun Melaka sudah memaktubkan semua peruntukan yang berkenaan. Sebagai contohnya, dalam Hukum Kanun Melaka mengandungi hukuman awam atau undang-undang awam yang menyentuh perkara-perkara seperti hutang, penyewaan tanah, harta dan hamba. Selain itu, terdapat juga hukuman untuk perbuatan jenayah meliputi perbuatan membunuh dan menikam orang, menetak dan memukul, merampas dan mencuri, tidak menurut perintah raja dan menderhaka serta tuduh-menuduh. Peruntukan hukuman yang lengkap dalam hukum kanun melaka ini sesungguhnya telah menjadi panduan yang sempurna dalam menjalankan pemerintahan kerajaan.

          Pentingnya Hukum Kanun Melaka juga terletak pada peranannya sebagai menentukan pembahagian tugas, peranan serta struktur pemerintahan. Dalam undang-undang tersebut, terkandung satu adat yang digelar Adat Lembaga yang di dalamnya mengkanunkan satu sistem pentadbiran dan pemerintahan yang teratur. Adat tersebut menerangkan tentang adat-adat raja dan larangannya, perihal peranan bendahara, temenggung, penghulu bendahari dan syahbandar dalam membantu raja. Hal ini dapat melancarkan pentadbiran, memudahkan urusan tertentu kerana berlaku pengkhususan yang sudah pastinya meningkatkan mutu dan produktiviti. Maka nyatalah, Hukum Kanun Melaka dapat menjadi panduan dalam menjalankan pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

          Di samping itu, kepentingan Hukum Kanun Melaka turut terserlah bagi mempertahankan sistem sosial. Ini turut dapat membezakan keistimewaan golongan raja dengan rakyat jelata. Walaupun golongan pemerintah amat berbeza dan jauh jurangnya dengan golongan yang diperintah, hak masing-masing sentiasa terpelihara. Raja berada pada hierarki tertinggi dalam struktur pemerintahan negeri, maka baginda menduduki tempat yang istimewa dalam masyarakat Melayu tradisional. Taraf seseorang raja ternyata berbeza berbanding dengan golongan rakyat samada dari segi kedudukan, pakaian, peralatan, atau pertuturan. bagi memastikan perbezaan antara raja dengan golongan rakyat biasa berkekalan, maka diadakan pelbagai peraturan dan larangan tertentu ke atas rakyat supaya wujud jurang antara pemerintah dengan rakyat, justeru memperkukuh kedudukan raja. Misalnya, raja sahaja yang berhak memakai pakaian kuning, payung kuning, pakaian nipis, keris berhulu emas. Rakyat dilarang menggunakan barang-barang tersebut kecuali dianugerahkan oleh raja. Walau bagaimanapun, kedudukan hamba terpelihara. Buktinya, sebahagian daripada peruntukan yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka menjelaskan tentang undang-undang perhambaan. Undang-undang ini memperakukan kedudukan hamba abdi, iaitu hamba abdi tidak diibaratkan seperti barang, tetapi mempunyai hak yang tertentu. Tegasnya, Hukum Kanun Melaka mengukuhkan institusi beraja di Melaka, mempertahankan sistem sosial yang adil. Peruntukan yang telah termaktub ini sebenarnya menjadi panduan bagi menjalankan pemerintahan baik melibatkan golongan bangsawan, rakyat jelata mahupun hamba.





PENGARUH ISLAM DALAM HUKUM KANUN MELAKA

Undang-undang islam dalam Hukum Kanun Melaka
1.      Undang-undang Jenayah- terbahagi kpd 3 bahagian.
2.      Hukum Qisas Dinyatakan sesispa yang mengambil nyawa (membunuh) orang akan dibalas bunuh. Orang Islam yang membunuh orang kafir tak dikenakan qisas. Dalam soal mencederakan anggota juga akan dibalas perbuatan yang sama dan setimpal. Hal ini selari dengan surah al-Maidah ayat 45. Hukum Diat  Fasal 17 Hukum Kanun Melaka menyatakan pembunuh dengan sengaja jika diberi maaf oleh waris akan dikenakan Diat(denda). Hal ini selari dengan mazhab Shafiee. Hukum Hudud berhubung dengan kesalahan zina, Qazaf, Mencuri, Minum arak dan Murtad. Sebagai contoh kesalahan zina akan direjam sampi mati bagi yang telah berkahwin dan disebat 100 x bagi yang belum berkahwin. Hal ini selari dengan surah an-Nur ayat 2 dan juga Hadith. Bagi kesalahan Qazaf akan disebat 80 x sebatan. Bagi kesalahan minum arak akan disebat 40 x  sebatan. Hukum Ta’zir bagi kesalahan yang tidak dikenakan hudud dan qisas seperti mencuri tidak cukup nisab akan dikenakan ta’zir. Contoh akan diminta pulang semula barang yang dicuri atau digantung dileher dan di arak keliling kampung sebagai pengajaran.
Undang-undang Muamalah,
o    Ini berhubung dengan jual beli, riba, sewa, pinjam meminjam ada dinyatakan dalam fasal 30 Hukum Kanun Melaka. Contoh disebut dengan nyata haramnya riba, tidak boleh berniaga dengan orang gila.


Undang-undang Keluarga
o    Ini berhubung dengan perkahwinan,perceraian,wali talah dan sebagainya. Dalam hal ini semuanya selari dengan hukum Islam.
Undang-undang Keterangan dan Acara
o    Hal ini adalah berkaitan dengan syarat-syarat menjadi Sultan seperti mesti Islam, adil, pengampun, pemurah dan sebagainya. Disini dinyatakan juga hakim/kadi dilarang menerima hadiah.
Penglibatan Ulamak dalam soal pentadbiran negeri disebut dengan nyata. Ulamak dan Kadi terlibat aktif dalam soal pertabalan, perkahwianan pemakaman seseorang raja/sultan. Meskipun pengaruh Islam amat ketara dalam Hukum Kanun Melaka, masih terdapat banyak pengaruh Hindu dan adat Melayu yang bertentangan dengan Islam seperti perkara di bawah.

Undang-undang yang Tidak Selari Dengan Islam :
1.      Sultan berada di atas undang-undang  ( Konsep Devaraja)
2.      Hukuman qisas tidak dikenakan kepada sultan/ kerabat raja contohnya  Raja Muhammad telah membunuh Tun Besar, hukuman dibuang negeri.
3.      Hukuman hudud tidak dikenakan kepada sultan contoh  Sultan Mahmud telah berzina dengan isteri orang.
Mengamalkan Diskriminasi Dalam Undang-undang :
o    Tidak amalkan persamaan taraf,  ini kerana ada larangan memakai warna kuning, bina rumah seperti

Konsep Daulat dan Tulah :
o    Amalkan konsep pantang derhaka kepada raja/sultan walaupun memerintah dengan zalim.

Pengaruh adat Temenggung :
o    Mengikut Yusuf Hashim hanya 41% sahaja Hukum Kanun Melaka yang mempunyai Islam dan selebihnya pengaruh daripada Adat Temenggung.


LAMPIRAN


Gambar 1 : Hukum Kanun Melaka

Gambar 2 :  Hukuman yang dikenakan kepada pesalah

Gambar 3 : Hukuman yang dikenakan kepada pesalah











RUMUSAN

Kesimpulannya, Hukum Kanun Melaka penting bagi melancarkan pemerintahan negeri. Undang-undang ini yang awalnya dipengaruhi oleh agama Hindu, diresapi unsur agama Islam yang ketara pada akhirnya. Hukum-hukum syarak ini meresap secara beransur-ansur. Sesungguhnya, undang-undang ini sungguh lengkap, menyentuh pelbagai perkara berkaitan dengan adat lembaga dan tanggungjawab pembesar, hukuman awam dan perbuatan jenayah serta perkara-perkara berkaitan dengan pertanian, perhambaan, dan kekeluargaan. Walaupun Hukum Kanun Melaka diamalkan dengan meluas di Melaka dan menjadikan Islam sebagai rujukan namun masih ada ruang yang bertentangan dengan syarak. Hal ini, Undang-undang Melaka masih dipakai oleh undang-undang zaman sekarang.

7 comments: